Sunday, November 7, 2010

Hukum Solat Jama'ah


HUKUM SOLAT JAMAAH:
Di antara kesempurnaan solat itu ialah menunaikannya secara berjamaah sebagaimana amalan Rasulullah saw. Baginda saw sentiasa menunaikan solat secara berjamaah hatta ketika peperangan dan musafir, apatah lagi dalam keadaan biasa dan tidak bermusafir.
 Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum solat berjamaah:
1. Sunat mu’akkad – Mazhab Hanafi dan Maliki.
Para ulama’ yang mengatakannya sebagai sunat mengemukakan dalil dari beberapa hadis, antaranya ialah: Sabda Rasulullah SAW.: 
Solat berjamaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 darjat”. [HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650 dari Ibnu Umar ra].
Kata mereka: Hadis ini menjelaskan amalan solat berjamah adalah afdhal (lebih) baik dari solat sendirian, maka afdhal adalah kelebihan bukan wajib.

2. Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) - Ulama’ Hanbali.
Para ulama’ yang mengatakan bahawa solat berjamaah itu fardu ain/wajib menggunakan dalil:
i. Sabda Rasulullah SAW: “Seberat-berat solat ke atas para munafiqin ialah solat isya’ dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan solat berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa orang yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka”. [HR Bukhari No. 644. & Muslim No. 651 dari Abu Hurairah]
Hadis ini menunjukkan solat berjamaah wajib ke atas setiap orang (fardhu ain) lelaki yang mampu. Sekiranya solat jamaah adalah sunat tentulah Rasulullah saw tidak memberi amaran untuk membakarnya.
ii. Ibnu Ummi Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah saw bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.”  [HR Abu Daud No. 552, “Sahih”].
Rasulullah saw tidak memberi kelonggaran kepada orang buta meninggalkannya, maka orang yang celik tentulah lebih lagi.

3. Fardu kifayah - Pendapat mazhab Syafi’i.
Jika di dalam suatu kampung atau negeri penduduknya enggan mengerjakan solat berjamaah, pemerintah hendaklah memerangi mereka.
Dalil mazhab ini:
Sabda Rasulullah saw: “Tidak terdapat tiga orang yang mendiami sebuah kampung atau penempatan yang tidak didirikan solat jamaah melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang bersendirian”.(HR Abu Daud No. 547. “Hasan”]
Hadis ini menunjukkan solat berjamaah adalah fardhu kifayah ke atas umat ini. [Lihat: Fiqh Al-Ibadat, Sheikh Hasan Ayyub: 238-247]